Thursday, March 9, 2017

Contoh Memorandum

MEMORANDUM
Kepada: Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan
Daripada : Pesatuan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan
Memorandum Bantahan Terhadap Lambakan  Drama dan filem
Berunsur Seram, Tahayul, Ganas dan Berbau Seks di Negara Ini
1.0   Pendahuluan
Kebanjiran drama dan filem berunsur seram, tahayul, ganas dan berbau seks dilihat semakin menjadi-jadi ketika ini. Penggiat drama dan filem cenderung ke arah pembikinan filem seram kerana sambutan menggalakkan daripada peminat. Buktinya, kebanyakan filem dan drama berunsur seram, tahayul, ganas dan berbau seks mendapat kutipan tayangan melebihi kos pembiayaan contohnya, filem Khurafat mengutip RM8.08 juta daripada kos biaya RM1.50 juta dan filem KL Gangster mendapat kutipan sebanyak 11.74 juta daripada kosnya 1.51 juta. Bagi mengelakkan perkara ini terus berlarutan, Persatuan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan menghantar memorandum ini untuk membantah fenomena tersebut dan juga usul bagi menangani masalah ini.

2.0   Pernyataan Bantahan
Pada hari ini, muncul banyak penggiat drama dan filem yang berlumba-lumba menghasilkan drama dan filem berunsur seram, tahayul, ganas dan berbau seks. Oleh itu, pihak persatuan membantah isu berkenaan kerana mendatangkan pelbagai impak negatif kepada penonton.
2.1 Mempengaruhi emosi
Lambakan filem dan drama yang bercorak seram, tahayul, ganas dan berbau seks ini akan mempengaruhi dan mengganggu emosi  penonton terutamanya kepada kanak-kanak dan remaja. Hal ini kerana, apabila mereka menonton filem seram yang lebih banyak mengajar dan memberi contoh kepada yang batil, cerita seumpamanya hanya menimbulkan rasa seram dan ketakutan yang akan terbawa-bawa dalam kehidupan nyata. Hal ini menyebabkan wujudnya semula kepercayaan animesma yang takut akan hantu, pokok besar, batu besar dan sebagainya seperti kepercayaan yang sudah bersarang sekian lama dalam anggota  masyarakat kita serta menyebabkan mereka berfikiran jumud.
2.2 Meracun Fikiran
Walaupun tidak dinafikan tujuan asal penghasilan drama dan filem seram dan tahyul ini untuk menunjukkan bahaya serta dahsyatnya kesan apabila manusia membuat dosa tetapi sedar atau tidak, adegan dipaparkan sebenarnya menunjukkan cara melakukan dosa. Ada juga adegan yang menyumbang bahaya seperti filem dan drama mengajar penonton bukan sahaja cara mahu membuat jenayah terancang seperti penculikan, pembunuhan, rogol, penipuan malah cara untuk membuat bom. Remaja yang cenderung untuk mencuba dan mudah terpengaruh akan  menjadikan perkara ini sebagai  amalan atau ikutan Tegasnya, perkara ini mengundang bahaya dan akan menyebabkan peningkatan masalah dan jenayah sosial.


3.0   Usul
Yang berikut merupakan usul bagi menangani masalah tersebut.
      3.1    Mengenakan Syarat Penerbitan yang Ketat.
Memperketat syarat pengeluaran permit penerbitan drama dan filem merupakan langkah proaktif bagi mengawal lambakan drama dan filem tersebut. Hal ini kerana, syarat permohonan permit itu pada masa ini masih longgar dan boleh memberi ruang kepada golongan tidak bertanggungjawab untuk menerbitkan bahan penerbitan negatif. Kami mencadangkan pihak kementerian mengenakan denda atau hukuman yang berat kepada penerbit drama dan filem yang gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Denda dan hukuman yang berat itu sekurang-kurangnya akan menakutkan penerbit drama dan filem yang lain untuk melanggar garis panduan yang telah ditetapkan itu.
3.2  Peranan Penggiat Drama dan Filem
Penggiat filem itu sendiri harus mengimbangi penghasilan drama dan  filem antara filem berunsur seram, tahayul, ganas dan berbau seks dengan filem berunsur dakwah dan berpengajaran. Penggiat filem masih kedekut  untuk mengeluarkan filem berunsur dakwah sebaliknya lebih gemar dengan genre filem seram, tahayul, ganas dan berbau seks yang tidak membina generasi madani. Oleh itu,  penerbit dan pengarah drama dan filem dinasihati supaya lebih kreatif untuk menghasilkan filem dan tidak terlalu bergantung kepada genre tersebut, khususnya jika skrip terbabit tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

4.0 Penutup
       Penggiat drama dan filem tempatan mesti menyahut seruan kerajaan supaya memasyarakatkan
       filem dan drama, bukannya menerbitkan karya yang boleh dianggap picisan dan merosakkan minda
      anggota masyarakat. Jika pengeluar drama atau filem sudah ketandusan idea sehingga hantu
      dijadikan tema cerita, tidak salah jika mereka menggarapkan unsur didikan dalam hasil karya
      mereka. Oleh itu, mereka perlu memfokuskan pengajarannya pada akhir cerita. Sekiranya usul di atas
       dilaksanakan, persatuan ini yakin bahawa kesan negatif yang dimaksudkan itu akan berkurangan.
Disediakan oleh,                                                                                                                               19 Februari 2014

_______________________
(NUR AFIFAH BT MOHD LAZIM)
Pengerusi
Persatuan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment